Thursday, July 28, 2011

Apabila anak anda demam..

Hari ini telah masuk hari kedua Aiman mengalami demam dan tidak dapat ke sekolah. Macam biasa setiap kali Aiman demam pasti dia akan turut mengalami batuk, selsema dan sakit tekak. Ketika waktu malam, demam Aiman menjadi agak teruk namun di siang hari, Aiman masih aktif. Semasa Aiman kecil dahulu, setiap kali Aiman demam saya memang akan ambil cuti untuk menjaganya di rumah. Namun, kali ini saya tidak ambil cuti dan tinggalkannya di rumah pengasuh bersama-sama adiknya, Aqilah.

Mengapa kali ini saya tidak mengambil cuti? Adakah saya sudah tidak risau lagi dengan keadaan anak saya yang demam? Sudah berkurangkah kasih sayang saya? Jawapannya, bukan saya tidak sayang lagi anak saya ini, Aiman lah buah hati pengarang jantung saya, hero kesayangan saya, cuma kerisauan saya sedikit berkurang kali ini kerana Aiman sudah mencapai umur 7 tahun.

Mengikut ilmu kedoktoran yang saya pelajari, kanak-kanak yang berumur di bawah umur 7 tahun sahaja yang akan terdedah kepada sawan demam (febrile fits) apabila mereka mengalami demam panas. Bagi yang berumur 7 tahun ke atas, risikonya telah tiada. Jadi, inilah menyebabkan saya kurang risau apabila Aiman mengalami demam. Jika kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas terkena sawan kebiasaanya ia bukan disebabkan sawan demam (febrile fits) tetapi disebabkan perkara-perkara lain seperti Epilepsi.

Bagi ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang berusia kurang daripada 7 tahun, saya tekankan jangan ambil ringan apabila anak-anak anda demam!. Berikut adalah langkah-langkah yang sepatutnya anda ambil ketika anak anda demam:

1. Kalau boleh anda ambillah cuti.

Jika anda sendiri yang memantau tahap suhu badan anak-anak anda sewaktu mereka demam, sudah tentu anda akan lebih teliti berbanding kakitangan taska ataupun pengasuh. Kadang kala mereka terlepas pandang.

2. Periksa samada tubuh anak anda memerlukan antibiotik.

Biasanya kalau anda bawa anak-anak anda ke klinik swasta, doktor di klinik tersebut biasanya akan bagi antibiotik. Jangan ambil antiobiotik tersebut sekiranya anak anda cuma mengalami demam viral, kerana demam viral tidak memerlukan antibiotik. Antibiotik diperlukan untuk demam yang disebabkan oleh bakteria sahaja dan ketika tonsil bengkak. Kalau hanya tekak merah tetapi tonsil tidak bengkak, anak anda tidak memerlukan antibiotik. Adakalanya, saya tidak faham mengapa doktor di klinik swasta suka bagi antibiotik, tetapi ada juga kes ibubapa sendiri yang beriya-iya meminta antibiotik (ini pernah dialami sendiri oleh saya sewaktu bertugas, siap marah-marah saya lagi sebab tidak bagi antibiotik). Hal ini kerana, jika anak anda makan antibiotik, sedangkan sebenarnya badannya tidak memerlukan antibiotik tersebut, imuniti badan anak anda akan jadi lemah. Imuniti badan yang kuat amat diperlukan supaya tidak mudah diserang penyakit di masa akan datang.

3. Bezakan antara demam viral dan demam disebabkan oleh bacteria.

Jika demam viral biasanya kanak-kanak tersebut aktif (seperti tidak demam) di siang hari tetapi suhunya panas di malam hari. Jika demam disebabkan bacteria, kanak-kanak sememangnya tidak aktif dan kelihatan lemah sepanjang hari.

4. Sediakan ubat yang sewajarnya untuk anak anda.

Selain ubat demam samada Syrup Paracetamol atau Syrup Brufen untuk demam, anda juga perlu menyimpan ubat pil yang dimasukkan ke dalam dubur kanak-kanak atau namanya Supp Paracetamol (SUPP PCM). Bagi bayi yang berat kurang daripada 12kg, gunalah supp PCM 125mg, jika berat melebihi 12kg, guna supp PCM 250mg. Saya nasihatkan supaya ibu-ibu sentiasa menyimpan bekalan supp PCM ini di dalam peti walaupun semasa anak tidak demam, kerana jika tiba-tiba anak anda demam kuat pada waktu malam, anda hanya perlu memasukkan ubat ini dengan kadar yang segera ke dalam duburnya. Selepas memasukkan ubat ini biasanya suhu badan akan dapat turun dengan kadar yang cepat berbanding dengan meminum Syrup Paracetamol. Ini kerana jika suhu badan kanak-kanak sangat tinggi, mereka akan terdedah mendapat sawan demam (febrile fits). Nauzubillah....

5. Selain daripada menyediakan ubat apa lagi yang perlu anda lakukan?

Selain menyediakan ubat, anda juga perlu sentiasa tuam kepala dan ketiak anak anda pada waktu malam untuk mengawal suhu. Sememangnya memerlukan pengorbanan berjaga malam jika anak demam. Akan tetapi yakinlah bahawa anda akan mendapat pahala yang besar dengan pengorbanan ini.

Secara kesimpulannya, kawallah suhu badan dan jagalah anak anda sebaik-baiknya sewaktu mereka demam. Ini kerana jika mereka terkena sawan, sel-sel otak mereka boleh mengalami kerosakan kekal, perkara itu sangat perlu anda dielakkan daripada terjadi.


Selain itu, jika demam anak anda berterusan melebihi 3 hari dan keadaannya bertambah teruk seperti muntah, mengadu sakit perut atau susah bernafas segera membawa anak anda ke jabatan kecemasan untuk rawatan lanjut kerana dibimbangi anak anda mengalami demam denggi, kerana sekarang ini kes-kes denggi semakin menular.

Semoga bermanafaat buat semua. Insya-Allah

Credit: -Artikel Iluvislam.com
Dr Che Engku Nor Bahiyah bt Che Engku Muda bertugas sebagai pegawai perubatan dan bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia

~~~@@@~~~@@@~~~@@@~~~@@@~~~

Seawal usia Aryan 2 minggu Aryan penah mengalami panas badan atau dedar. Saya dapat rasakan perubahan suhu disebabkan direct BF Aryan masa tu. Jadi cepat-cepat kami ke hospital untuk dapatkan khidmat Doktor. Dr maklumkan suhunya normal cuma, agak biasa bagi bayi kita rasa badan dia panas sebab suhu badan dia senang "fluctuate". Atas nasihat Doktor juga, kami cepat-cepat cari termometer bagi memudahkan pemantauan suhu. Jenama Little Bean kami pilih sebab paling murah harganya untuk Infra Red thermometer. Kenapa bukan termometer biasa? Sebab infrared cepat dan mudah. Cepat dalam erti kata dalam sesaat dah boleh dapat bacaan dan mudah sebab hanya perlu masukkan munjung termometer ke telinga dan tekan butang "read". Hebat kan? Kalo jenama lain, mau jugak mencecah 3 angka!

Kali kedua Aryan demam masa berusia 2 bulan lebih. Masa tu saya ambil cuti materniti tambahan dan menjaga Aryan dirumah. Pegang-pegang tangan dan dahi Aryan panas. Dia pun tidur je. Mujur ada termometer, jadi mudahlah bagi saya memeriksa suhu badannya. 38 darjah celsius! Cukup tinggi untuk baby berusia 3 bulan ke bawah dan boleh mengakibatkan sawan kalo dibiarkan. Disebabkan hubby kena attend meeting, maka buat pertama kalinya selepas bersalin saya kena memandu sambil membawa anak sendirian ke klinik. Kalutnya saya. Dengan baru nak pasang car seat, nak siapkan beg, salin baju dan siapkan Aryan. Mujur Aryan tak meragam sepanjang jalan ke klinik. Alhamdulillah. Kalo tak lagi kalut dibuatnya. Dok fikir-fikir jugak macam manalah keadaan baby kalo Si Ibu tak boleh memandu dan hanya mengharapkan suami disaat kecemasan begini? Nak pulak suami ada kerja yang tak boleh dielakkan. Nauzubillah!

Moral of the story, belilah termometer untuk memudahkan anda. Setiap sejam sekali boleh pantau suhu anak apabila demam. At least boleh kurangkan sket kerisauan dan sedapkan hati. Boleh cari di Outlet Manjaku dan dapat harga semurah RM 99 untuk Infra-red. Bukan apa, suhu baby bukan macam suhu kita orang dewasa. Suhu badan mereka lebih cepat naik dalam waktu yang singkat. Petua orang tua2, jerlum badan terutama bahagian2 sendi seperti siku, belakang lutut, ketiak dan leher bagi mempercepatkan turunnya suhu ke paras normal. Ada yang cadangkan untuk tekapkan tuala basah di dada baby, tapi saya tak buat sebab kemungkinan baby untuk terdedah kepada penyakit paru-paru berair adalah tinggi. Apa yang penting, pakaikan baju 'air-cond' atau lebih dikenali sebagai baju lubang2, senang haba panas nak kuar dan jangan selimut mereka. Kalo tak haba lagi terperangkap. Belilah coolfever dan simpan dalam peti sejuk sebagai stok. Saya sendiri setiap kali travel, memang akan sentiasa bawa termometer, coolfever dan tuala kecil sebagai persediaan untuk sebarang kes kecemasan. Bekalan ubatan tak perlu risau sebab En. Pharmacist ada. Jadi order saja.

p/s: Takut nak masukkan ubat bontot pada baby.Jadi Abah dia saja la yang masukkan.

1 comment:

fiezaradzi said...

takut juga nak masukkan ubat dlm bontot tu.. alhamdulillah, setakat ni yg kecik tu demam ok lagi, just basahkan kepala dgn air ramasan daun rmabutan atau daun bunga raya atau dgn air asam jawa.

pedih hati bila tgk si kakak kena cucuk ubat bontot tu.. die sampai skg ingat kena cucuk.. hehe